![]() |
PERANAN sebagai seorang ibu telah membuat Daphne lebih menghargai hidup.
|
Kerana baginya, sudah sampai seru dan jodoh hadir kepadanya untuk berkahwin dan seterusnya memiliki seorang cahaya mata yang telah merobah hidupnya yang lebih sempurna kini.
Daphne M.Iking, 30, atau lebih mesra di sapa dengan panggilan Daphne begitu teruja menceritakan mengenai kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu saat ditemu ramah baru-baru ini.
Perkahwinannya bersama jejaka pilihannya, Ryan Chong yang usianya juga sebaya dengannya pada 27 Januari 2007 dikurniakan dengan anak perempuan yang diberi nama Isobel Daniella Iking-Chong yang lahir pada 26 November tahun lalu.
Dia sendiri mengakui pada awalnya, dia mahu memiliki anak sekurang-kurangnya dua tahun selepas perkahwinannya tetapi dia terima sahaja kehendak rezekinya dan bagaikan katanya, anak itu pembawa rezeki.
“Dari awal mengandungkan Isobel, rezeki saya tidak pernah putus. Apabila ia terjadi sedemikian, barulah saya sedar, bahawa sememangnya dia memberikan sinar baru dalam hidup saya.
“Walaupun saya mengandung dan bentuk badan saya berubah, namun tawaran menjadi pengacara dan pelakon tidak pernah putus,” katanya berkongsi kemanisan yang dilalui ketika fasa kehamilan.
Sebagai contoh, Daphne buat pertama kalinya menerima tawaran berlakon dalam drama Adik arahan Ngai Yuen yang pernah disiarkan di ntv7 tidak berapa lama dulu ketika usia kandungannya lima bulan.
Bukan itu sahaja, bahkan wanita jelita itu juga diberi peluang mengacarakan beberapa rancangan lain seperti Celebrity Cookout dan My Starz LG.
“Memang menyeronokkan dan pengalaman yang cukup menarik saya lalui ketika itu. Ia satu cabaran buat saya kerana saya perlu tampil dalam keadaan diri saya yang tidak begitu menarik,” ceritanya berseloroh.
Daphne yang baru sahaja pulang dari Australia kerana terlibat dengan penggambaran rancangan My Aussie Adventure selama sebulan di sana turut menceritakan pengalaman yang hampir membuatkannya begitu kecewa.
“Bayangkan, apabila saya pulang minggu lalu, anak saya mula meragam kerana sudah tidak mengenali saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya waktu itu kerana saya berpegang kepada kata-kata ikatan kasih sayang antara anak dan seorang ibu adalah kuat.
“Memang pada mulanya agak geram tetapi selepas saya meminta nasihat daripada ibu saya serta sokongan daripada suami, akhirnya saya dapat menyesuaikan diri dan anak saya kembali seperti biasa bersama saya. Selepas ini, jika boleh, saya tidak mahu jauh daripada anak saya lagi kerana bimbang perkara sama berulang lagi,” kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini tersenyum.
Berfikiran positif
Di sebalik itu, Daphne dengan penuh optimis memberitahu, dia tidak akan berhenti kerja semata-mata untuk menumpukan perhatian kepada rumah tangganya meskipun suaminya ada memberi signal untuknya berbuat demikian.
Malah, katanya, buat masa ini, dia belum berfikir lagi untuk menambah bilangan cahaya mata.
“Apa yang saya lakukan ini adalah minat saya dan tidak mungkin saya akan meninggalkannya. Saya mahu terus bekerja kerana saya mahu memberikan kehidupan yang terbaik untuk anak saya. Bukan saya meminta atau mendoakan yang tidak baik, tetapi kita tidak tahu apakah yang terjadi di masa hadapan.
“Untuk itu, saya mahu menyiapkan diri sebaik mungkin demi masa depan anak saya dan saya tidak mahu mempersiakan kehidupannya.
“Saya juga sedar saya tidak akan selalu menjadi pilihan dan akan mendapat tempat dalam bidang ini dalam tempoh masa yang lama,” kata Daphne yang sentiasa berfikiran positif.
Sehubungan itu, Daphne kini sedang dalam perancangan untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan perhubungan awam atau jurusan yang boleh diaplikasikan dalam hiburan.
Bercerita tentang perkembangan terbaru dirinya, anak jati keturunan Kadazan ini yang mula dikenali lewat rancangan Ringgit Sense terbitan TV3 pada tahun 2003 ini memberitahu, wajahnya kini dapat ditatap menerusi rancangan Life As A Celebrity (LAAC) yang dikendalikannya.
Rancangan yang membariskan selebriti wanita yang berjaya dalam bidang masing-masing itu disiarkan di 8TV pada pukul 10 malam, setiap hari Jumaat yang mula bersiaran sejak 27 April lalu.
Kata Daphne, LAAC banyak mengubah pandangannya terhadap selebriti wanita yang sebelum ini tidak pernah diketahuinya.
Malah, dipilih sebagai pengacara untuk rancangan ini menjadikan dirinya lebih berfikiran positif dan yakin dalam setiap perkara yang dilakukannya.
“Banyak yang saya belajar menerusi LAAC kerana ia banyak membuka mata saya tentang selebriti wanita ini yang telah memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara yang tidak pernah langsung terlintas di dalam fikiran saya.
“Sebagai contoh, dalam satu episod saya bersama Atilia, saya sendiri tidak tahu bahawa dia sebenarnya memang pandai menari dan mereka tari gerak tariannya sendiri.
“Malah, penglibatannya dalam dunia teater serta kata perangsang serta nasihat yang diberikan kepada saya telah membuka mata saya tentang dunia teater. Sehubungan itu, saya bakal mengikuti bengkel teater yang dikendalikan oleh Joe Hafsham sekitar bulan Ogos nanti,” tuturnya penuh jujur.
Bukan itu sahaja, Daphne turut melahirkan rasa kagumnya terhadap pelakon baru yang meningkat naik, Diana Danielle yang disifatkannya mampu pergi jauh dalam bidang seni.
“Meskipun dia baru berusia 17 tahun, namun, dia begitu matang dan sepanjang menjalani penggambaran bersamanya, saya senang sekali berdampingan dengannya kerana siapa tahu, dia sememangnya begitu lucu sekali,” kata Daphne berkongsi cerita mengenai rancangan yang mendapat penajaan jenama kecantikan terkenal, Clarins Institut itu lagi.
Begitu juga persepsinya terhadap bekas ratu cantik yang juga penyanyi dan pelakon terkenal, Erra Fazira.
“Apabila dia hadir bersama rombongannya sewaktu penggambaran, ramai yang mula bimbang dan gusar kerana takut Erra akan berkelakuan diva. Tetapi, semuanya meleset dan Erra sendiri menjelaskan apa yang dilakukannya semua demi profesionalisme.
Pengacara yang serasi
“Ternyata, dia seorang yang begitu ringkas serta mudah didekati. Kerana minatnya yang mendalam dalam motosikal berkuasa tinggi iaitu Harvey Davidson telah mendorong saya untuk mengambil lesen motor. Kesimpulannya, berdampingan dengan selebriti wanita menerusi rancangan LAAC ini telah meningkatkan tahap keyakinan diri saya,” katanya menutup bicara.
Istimewanya LAAC, ia turut menampilkan satu-satunya selebriti lelaki iaitu Nazruddin Habibur Rahman atau Naz yang juga rakan karib kepada Daphne.
Pemilihan Naz adalah berdasarkan kriteria yang menepati produk Clarins yang dicipta khusus untuk kaum lelaki.
“Bekerjasama dengan Naz memang langsung tiada masalah kerana dia adalah kawan saya. Kami dah kenal lama dan disebabkan itu apa sahaja yang kami lakukan akan menjadi mudah,” luah Daphne yang menjadi pengapit bakal isteri Naz yang akan mendirikan rumah tangga pada 6 Julai ini.
Naz dan Daphne dilihat sebagai pasangan pengacara yang serasi dan mereka digandingkan bersama dalam The Breakfast Show, My Starz LG dan juga My Aussie Adventure.
Buat mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Daphne Iking, bolehlah melayari laman webnya, www.daphneeleanoriking.com.




